Monday 11 April 2011

Perbezaan Blog & Laman Web

Blog merupakan singkatan untuk weblog (singkatan untuk weblog dalam bahasa Inggeris), sebagaimana dibayangi oleh nama bahasa Inggerisnya, ialah diari dalam talian tentang sesuatu topik. Catatannya dipaparkan dengan tertib terbalik mengikut urutan tarikh. Antara ciri penting blog ialah pembaca mempunyai keupayaan untuk meninggalkan komen dalam format interaktif.

Secara umumnya, blog yang tipikal mengandungi teks dan imej serta pautan ke blog, laman web atau media lain yang berkaitan dengan sesuatu isu yang dibincangkan. Blog boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian bergantung kepada tumpuan penggunaannya. Antaranya ialah seperti berikut :

Blog teks : Blog yang menumpukan teks atau penulisan.
Blog foto : Blog yang menumpukan gambar foto.
Blog MP3 : Blog yang menumpukan muzik.
Vlog : Blog yang menumpukan video.
Pempodkasan : Blog yang menumpukan audio.

Selain daripada itu, blog juga boleh dikelaskan berdasarkan fokus perbincangan yang diutarakan, misalnya isu politik tempatan dan luar negara, berita tempatan, perangkaian sosial, perkongsian resepi, sukan, hiburan dan sebagainya. Justeru itu ia dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti diari dalam talian, blog korporat, blog usaha sama, blog politik, blog projek, blok pendidikan dan banyak lagi.

Berbeza dengan blog, laman web boleh dikategorikan sebagai satu perantaraan atau medium yang menghubungkan pelayar internet dengan pemilik laman web. Pemilik laman web boleh terdiri daripada individu, kumpulan syarikat atau sesiapa sahaja.

Ia boleh didefinisikan sebagai satu koleksi fail web yang mengandungi pelbagai tajuk termasuklah fail permulaan yang dikenali sebagai homepage. Sebagai contoh, kebanyakan syarikat, organisasi atau individu ada mempunyai "Alamat Laman Web" atau dikenali sebagai IP Address seperti : www.ibm.com, www.lhdn.gov.my dan sebagainya.

Selain itu, laman web juga menggunakan teknologi hiperteks secara meluas yang merupakan bahagian daripada dokumen atas talian yang mana, apabila dipilih oleh pengguna ia akan terus membawa pengguna ke dokumen yang berkaitan. Teknik hiperteks ini membolehkan maklumat dikumpulkan sebelum ia dihubungkaitkan dalam satu struktur tautan multidaimensi yang sesuai untuk dipersembahkan.

Fungsi laman web bergantung kepada objektif pemilik laman web tersebut. Untuk seseorang individu, laman web peribadi mungkin hanya untuk kegunaan peribadi sahaja iaitu sekadar untuk suka-suka atau sebagai salah satu cara untuk menonjolkan diri agar mudah untk mendapatkan pekerjaan, menambahkan kenalan dan untuk merapatkan silaturrahim.

Individu yang gemar merekabentuk laman web peribadi untuk mencuba teknologi web terkini seperti skrip terbaru yang canggih atau animasi Flash. Laman web juga digunakan untuk memaparkan dan menonjolkan identiti korporat sesuatu syarikat.

Pada zaman sekarang ini, sesebuah organisasi yang tidak mempunyai laman web sendiri mungkin akan turun nilainya pada pandangan mata orang ramai. Semakin banyak syarikat yang menjalankan perniagaan atau perdagangan secara internet sebagai salah satu strategi untuk memasarkan produk mereka.

Dalam era globalisasi, cara yang digelar e-dagang ini ternyata berkesan dalam meningkatkan hasil pendapatan syarikat disebabkan internet boleh dicapai di mana-mana sahaja dan peluang perniagaan adalah tidak terhad dan melangkaui sempadan.



p/s : sumber drpd Abdul Razak Hamdan, Mohd Zakree Ahmad Nazri, Mohammad Faidzul Nasrudin, Hafiz Mohd Sarim, Mohd Shanudin, Yazrina Yahya, Mohd Zamri Murah ( 2004 ). Teknologi Maklumat dan Komunikasi : Mc Graw Hill Educatioan:Kuala Lumpur.

No comments:

Yang Dah Berakhir

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...